Thursday, March 10, 2011

Whom to believe?

Read the two news article below. One is from The Malaysian Insider, and the other is from Harian Metro. Both are reporting about the same incident. Judge for yourself who is telling the truth and if there is any bias in both reports.

From Harian Metro:

Tiga pelajar samseng


HULU SELANGOR: Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bertindak samseng dengan mengugut untuk membunuh seorang guru disiplin, kelmarin.
Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati apabila guru terbabit enggan menerima buku teks yang mahu dipulangkan mereka.


Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa sejurus guru lelaki berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.


Kejadian itu bermula kira-kira jam 11 pagi apabila tujuh pelajar sekolah berkenaan pergi ke pejabat sekolah bertemu pengetua untuk memulangkan buku teks yang enggan digunakan mereka.


Menurut sumber, tindakan tujuh pelajar itu yang berlagak samseng dengan meluru masuk ke pejabat sekolah tanpa meminta kebenaran bagaimanapun cuba dihalang guru berkenaan.


“Hairan dengan tindakan pelajar terbabit, guru disiplin itu bertanyakan tujuan mereka mahu berjumpa pengetua dan mereka memberitahu mahu memulangkan buku teks yang tidak mahu digunakan lagi.


“Guru itu menjelaskan kepentingan dan salah faham yang timbul mengenai buku berkenaan yang dianggap memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar,” katanya.


Namun, pelajar terbabit tidak puas hati dengan penjelasan guru itu dan menganggap dia sengaja menghalang mereka bertemu pengetua dan mula bertindak biadab dengan meninggikan suara.


Sumber berkata, guru disiplin yang tergamam dengan tindakan pelajar terbabit cuba menenangkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar.


“Bagaimanapun, keadaan menjadi kecoh apabila tiga daripada pelajar terbabit mengugut guru itu kerana mendakwa dia menyinggung perasaan mereka,” katanya.


Bimbang keselamatan diri berikutan ugutan pelajar terbabit, guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga pelajar itu.


Menurutnya, semua mereka ditahan dalam tempoh 24 jam bagi mengambil keterangan berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan siasatan lanjut masih dijalankan.


Sementara itu, Bernama memetik Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, sebagai berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan esok berhubung isu buku teks itu.


“Saya akan pastikan pelajar menerima kembali buku berkenaan kerana itu arahan kerajaan yang mengekalkan novel berkenaan sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan lima,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.


Kamalanathan berkata, berikutan kejadian itu, guru berkenaan sudah membuat laporan polis kerana mendakwa diugut abang seorang daripada pelajar itu pada Isnin lalu, manakala pelajar terbabit turut membuat laporan polis kerana perkataan yang digunakan guru itu.



Now from The Malaysian Insider:

Interlok: Polis siasat pelajar tak sah, Putrajaya digesa adakan inkuiri
Mar 08, 2011 KUALA LUMPUR, 8 Mac — Tindakan polis menyoal siasat tiga pelajar tanpa kehadiran ibu bapa atau peguam hanya kerana memulangkan novel Interlok, yang menjadi kontroversi sekarang kepada pengetua mereka, adalah tidak sah, kata pemimpin Pakatan Rakyat.


Ketiga-tiga pelajar SMK Kuala Kubu Baru terbabit disoal siasat oleh polis bandar itu semalam selama 10 jam.


“Soal siasat dijalankan tanpa kehadiran ibu bapa atau peguam.


“Mengejutkan, pihak berkuasa polis atau sekolah tidak memaklumkan ibu bapa mereka bahawa pelajar berkenaan disoal siasat oleh polis,” kata Naib Presiden PKR N Surendran dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.


Katanya, pihak berkuasa sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu seolah-olah menggerakkan dan bekerjasama dalam insiden pelajar berkenaan disoal siasat kerana memulangkan novel Interlok.


“Kami dengan keras mengecam polis menyoal siasat kanak-kanak ini dan layanan yang diberikan kepada mereka.


“Soal siasat ini amat bertentangan dengan undang-undang kerana tiada kesalahan dilakukan oleh mereka,” kata beliau.


Novel Interlok kini digantung sementara jawatankuasa khas sedang mengkaji untuk membuat pindaan yang diperlukan.


Malah menurut aktivis sosial dan peguam ini, proses soal siasat itu bertentangan dengan undang-undang memandangkan mereka dinafikan akses kepada ibu bapa mereka atau peguam.


“Pada hakikatnya, sekurang-kurangnya salah seorang daripada kanak-kanak telah dinafikan kebenaran untuk menelefon ibu bapanya meskipun merayu untuk berbuat demikian,” kata Surendran.


“Kami menggesa kerajaan dan Kementerian Pelajaran mengambil tindakan segera untuk mengelakkan kejadian seumpama itu pada masa depan dan mengadakan inkuiri segera berhubung perkara tersebut,” katanya lagi.


Kata beliau, pihaknya mahu tindakan segera diambil ke atas pegawai-pegawai polis terbabit.


“Tindakan disiplin tegas harus diambil ke atas mana-mana guru yang terlibat dalam insiden ini.


“Kami menggesa kerajaan menghormati hak kanak-kanak dan bertindak selari dengan standard antarabangsa hak dan perlindungan kanak-kanak,” katanya.


Mengikut laporan media tiga pelajar tingkatan lima mendakwa mereka diheret ibu pejabat polis Kuala Kubu Baru dan disoal siasat selama 10 jam selepas mengambil keputusan memulangkan novel Interlok kepada pengetua mereka Jumaat lalu.


Kata laporan itu, pada awalnya, tujuh pelajar SMK Kuala Kubu Baru bercadang memulangkan buku teks sekolah mereka kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan kandungannya tetapi dihalang oleh guru disipilin yang kemudian mencaci mereka.


“Semua tujuh daripada kami berjalan dengan tenang ke bilik guru besar apabila guru disiplin menahan kami dan mengeluarkan kata-kata yang melukakan perasaan kami,” kata seorang daripada pelajar di ibu pejabat Parti Hak asasi hari ini.


Menurut pelajar, guru disiplin didakwa menuduh mereka sengaja menimbulkan masalah di sekolah itu dan mengeluarkan kata-kata yang menghina mereka.


Menurut mereka, semalam pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Baktiar Md Rashid, yang juga seorang pegawai polis, membawa tiga pelajar yang terbabit itu ke balai polis untuk disoal siasat tanpa kebenaran ibu bapa mereka.


In the Harian Metro report, they do not mention the name of the textbook, Interlok (actually it's a required reading novel). The article comes of as a pro-government report.

Meanwhile, The Malaysian Insider starts their story with a pro-student report giving their first few paragraphs to those defending the students against the police.

Not sure who to believe these days.

No comments: